Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KDN mohon RM10 juta untuk aktiviti pulihkan penagih -

KDN mohon RM10 juta untuk aktiviti pulihkan penagih

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) memohon peruntukan khas RM10 juta melalui Belanjawan 2022 bagi merancakkan aktiviti serta usaha mengekalkan kepulihan bekas penagih dadah di seluruh negara bagi tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, perkara itu penting bagi membuktikan bahawa usaha pemulihan adalah tidak mustahil dan boleh dicapai.

Sehubungan itu, katanya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah memperkenalkan inisiatif baharu dalam mengetengahkan individu yang pernah menerima rawatan dan pemulihan di agensi berkenaan.

Katanya, pada tahun ini, seramai 30 mentor yang mencapai standard kepulihan tersendiri telah dilantik untuk menjadi contoh atau ‘role model’ kepada  masyarakat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pendekatan ini secara tidak langsung bakal memberi kesedaran dan motivasi kepada individu yang sedang terlibat dengan masalah dadah untuk hadir mendapatkan rawatan secara sukarela di fasiliti disediakan kerajaan.

“Isu penyalahgunaan dadah perlu ditangani menggunakan pendekatan bersepadu, pelbagai disiplin, saling sokong menyokong dan seimbang di antara pengurangan permintaan dan penawaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan Hari Kepulihan AADK Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 secara maya di Kuala Lumpur, hari ini.

Simposium itu juga adalah satu daripada usaha KDN melalui AADK untuk menggembleng usaha dan mengiktiraf potensi kesukarelawanan ditunjukkan oleh pemimpin komuniti, NGO, klien AADK dan bekas klien (penagih dan bekas penagih) seramai 1,500 peserta.

Sehingga 31 Ogos tahun ini, seramai 47,863 orang menerima rawatan dan pemulihan di AADK seluruh negara dan membuktikan perkhidmatan berkenaan tidak terjejas ketika pandemik Covid-19.

Bahkan, penggunaan teknologi juga dipertingkatkan bagi memastikan penghuni mendapat akses rawatan.

Hamzah berharap, segala usaha kesukarelawanan dalam membantu pemulihan terus dipelbagaikan dengan menampilkan usaha lebih kreatif dan berkesan.

Namun, katanya pada masa sama, tahap kefahaman kepada masyarakat juga harus dilakukan secara konsisten bagi memberikan kesedaran bahawa penagih dadah perlu dirawat. – SB