Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bimbang buaya sesat masuk rumah dinaiki air banjir -

Bimbang buaya sesat masuk rumah dinaiki air banjir

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG warga emas di Kampung Tanjong Siam, Kuala Selangor yang ketika ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.

Ini kerana kata Hasnah Jalil, 68, rumahnya itu hanya kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.

“Saya takut jika air banjir masuk ke dalam rumah ada buaya dari Sungai Selangor tersesat ikut sekali.

“Biarpun kejadian ini tidak pernah berlaku, tetapi saya bimbang juga,” lapor Sinar Harian ketika dia ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan di sini semalam.

Mengulas lanjut banjir itu, Hasnah berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku sebaik dia terjaga daripada tidur apabila limpahan air mula memenuhi tempat tidurnya pada pagi semalam.

Menurutnya, kejadian air masuk ke dalam rumah disedari selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur di dalam rumah.


“Sebaik saya buka mata, tiba-tiba badan menggigil kesejukan dan melihat air sudah melimpah ke keseluruhan rumah.

“Saya sempat mengemas barangan penting dan mengalihkan peti ais dan mesin basuh di atas batu bata untuk mengelakkan kerosakan,” ujarnya.

Menurut Hasnah, air memenuhi rumahnya dengan cepat kerana sebelum ini hanya bahagian dapur digenangi air kelmarin.

Penduduk bimbang banjir akan menyebabkan buaya mengikut arus banjir dan masuk ke rumah mereka

Seorang lagi penduduk, Zoyah Majid, 76, berkata, kejadian banjir melimpah ke dalam rumah disedari sebaik dia pulang dari rumah anaknya.

Katanya, kejadian jam 6 pagi itu menyebabkan kediamannya dipenuhi air setinggi 0.2 meter.

“Kelmarin saya menumpang tidur di rumah anak perempuan yang terletak berhampiran, sebaik pulang terkejut mendapati rumah sudah dipenuhi air,” katanya.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan agak teruk berbanding tahun sebelumnya.

“Air banjir ini pula kotor dipenuhi lumpur dan ini sudah tentu merungsingkan saya hendak mengemas selepas banjir surut,” katanya.

Air banjir ke dalam rumah disedari soerang penduduk selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur

Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, seramai 35 mangsa daripada 14 Keluarga ditempatkannya di SK Pasangan.

Katanya, PPS itu mula dibuka semalam menempatkan seramai 14 lelaki dan 21 perempuan.

Sehingga kini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor berjumlah 132 mangsa membabitkan seramai 46 keluarga setakat jam 6 petang.