Bagaikan mimpi, hari ini suami sudah tiada

0
353

ISTERI salah seorang daripada dua pemancing yang ditemukan lemas berdekatan Jeti Mados di Kota Tinggi, Johor pagi tadi, menyifatkan pemergian suaminya bagaikan satu mimpi kerana mereka baru sahaja bertemu dua hari lepas.

Fahariah Pungut, 52, berkata memancing memang hobi suaminya, Amiruddin Abdul Malik, 53, dan kerap melakukan aktiviti itu bersama rakan-rakannya pada waktu lapang.

 “Bagaikan bermimpi, sukar untuk percaya kerana pada siang Isnin lepas dia bersama saya. Sebelum keluar pergi memancing, suami kerap tersenyum dan sempat berpesan jaga diri dan anak-anak, tetapi hari ini dia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Terdahulu mayat Amiruddin dan rakannya, Ramdan Sulaiman, 50, yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika memancing di atas sebuah bot berhampiran Jeti Mados, Kampung Air Putih, di sini dua hari lepas, ditemukan terapung oleh nelayan tempatan, pagi ini.

Dalam pada itu, Fahariah berkata suaminya, yang merupakan Imam Surau Ladang Basir Ismail, Sungai Tiram sejak lebih 10 tahun lalu, seorang yang mudah didekati dan sangat disenangi oleh rakan-rakan serta penduduk setempat.

“Dia seorang suami yang baik, penyayang dan sentiasa memanjakan dua anak perempuannya walaupun masing-masing sudah berumur 29 dan 28 tahun. Tidak sangka hanya setakat ini sahaja saya dapat hidup bersama dengannya,” katanya.  

Fahariah, yang juga pengetua sebuah sekolah menengah agama di sini, berkata beliau menerima panggilan kira-kira jam 10 malam Isnin lepas, mengatakan suami serta rakannya dilaporkan hilang ketika memancing.

Sepanjang tempoh itu sentiasa berdoa agar kedua-duanya dapat pulang ke rumah dengan selamat. 

“Saya tercengang (bila dapat panggilan telefon) dan tidak dapat berkata apa-apa, hanya mampu berdoa banyak-banyak dan minta anak-anak turut berdoa agar bapa mereka pulang ke rumah.

“Namun, saya reda dengan ketentuan Allah dan terus berdoa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya. 

Menurutnya, apabila selesai proses bedah siasat di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, jenazah suaminya akan dibawa pulang ke kampungnya di Yong Peng dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Ghaffar. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here