Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PICK remaja 'walk-in' berjadual bermula Khamis ini -

PICK remaja ‘walk-in’ berjadual bermula Khamis ini

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) akan dilaksanakan secara ‘walk-in’ (jumpa terus) berjadual mulai Khamis ini, bagi memudah dan mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada remaja.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Drn Noor Azmi Ghazali, sebanyak 156 pusat pemberian vaksin (PPV) Awam dan Integrasi di seluruh negara, telah dikenal pasti untuk tujuan itu dengan inisiatif bersama Kementerian Pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 REMAJA (CITF-A) juga berkata, pemberian vaksin PICK-Remaja secara ‘walk-in’ melibatkan semua kategori remaja termasuk mereka yang tidak bersekolah.
 
“Ini setelah mengambil kira PICK populasi dewasa yang hampir mencapai sasaran dan bilangan penerima vaksin di PPV Awam serta Integrasi telah menurun dan semua PPV di bawah CITF Induk juga dijangka akan berhenti beroperasi pada 15 Oktober depan.

“Pelaksanaan kaedah ‘walk-in’ berjadual akan dilakukan mengikut lokasi sekolah yang berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti dan akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan. Jadual akan dikeluarkan oleh pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu tambah beliau, bagi remaja yang tidak bersekolah, mereka dibenarkan untuk ‘walk-in’ di mana-mana 156 PPV yang berdekatan dengan kediaman.

Bagaimanapun, sekiranya kuota vaksin di PPV tersebut telah habis untuk hari tersebut, mereka akan diberi janji temu di PPV yang sama keesokan hari atau di klinik kesihatan swasta yang berdekatan.

“Remaja yang menuntut di  Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang berumur di bawah 18 tahun, dibenarkan ‘walk-in’ ke semua  PPV  yang masih beroperasi pada ketika ini, dengan menunjukkan pengenalan diri sebagai pelajar IPTA/IPTS. Ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka,” katanya.

Tambahnya bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang telah ditetapkan dan tidak dibenarkan ‘walk-in’ ke PPV Awam atau Integrasi.

Sebelum ini, PICK Remaja dilakukan melalui beberapa kaedah antaranya secara ‘outreach’ ke sekolah atau institusi secara berjadual, dan remaja dengan komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka.

PICK Remaja telah dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan semalam dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.

Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah dan sehingga semalam, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.

Bagaimanapun PICK Remaja telah dimulakan lebih awal di Sarawak, Labuan, Sabah, Kelantan, Kedah dan Johor dan sehingga semalam, seramai 308,186 remaja telah menerima  dos pertama vaksin COVID-19 dengan Sabah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 118,141 orang diikuti Sarawak (88,473), Kedah (19,453), Kelantan (17,413), Johor (16,019) dan Labuan (2,523). – SB