Cadangan lanjut waktu operasi restoran, stesen minyak

HARAPAN pengusaha stesen minyak dan restoran untuk beroperasi sehingga ke tengah malam semakin cerah berikutan persetujuan Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 dengan cadangan melanjutkan waktu operasi restoran, stesen minyak dan kedai runcit dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, cadangan itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob esok.

Jika cadangan itu diluluskan, ia akan dilaksanakan di seluruh negara, kecuali kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Menurut beliau, adalah penting untuk dijelaskan bahawa fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat.

“Menuju ke fasa endemik tersebut, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Sehubungan itu, saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya
kekal berdisiplin dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) serta mematuhi garispanduan yang telah ditetapkan.

“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ketika ini, ketiga-tiga perniagaan itu dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam. – SB

Empat menteri yang terlibat dalam mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 itu adalah Hishammuddin; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hishammuddin menambah, mesyuarat itu turut memberi fokus kepada usaha menambah baik SOP yang telah diumumkan kepada orang ramai sebelum ini dan mempermudahkannya daripada 181 SOP kepada 10 sahaja.

Sementara itu, beliau memberitahu, Nancy telah membentangkan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan Langkawi yang berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

Hishammuddin berkata, sekiranya perkembangan positif itu berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan di destinasi-destinasi yang lain.

Manakala Ahmad Faizal pula telah membentangkan mengenai pembukaan gymnasium dan pusat boling yang telah diumumkan minggu lepas.

Menurut Hishammuddin, penting untuk dijelaskan, kerajaan membenarkan pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup adalah dengan mengambil kira tunggak ketiga iaitu kesejahteraan rakyat terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri.

“Namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menekankan bahawa pengusaha dan pengguna mesti bertanggungjawab serta berdisiplin dalam
mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan.

“Ini amat penting memandangkan gimnasium merupakan kawasan tertutup, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya ada pihak terleka tentang pematuhan SOP dan garis panduan” jelasnya.

Beliau menambah, selain gimnasium, Ahmad Faizal turut membentangkan mengenai potensi pembukaan stadium kepada orang awam bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan-sukan yang sesuai. – SB