Pematuhan SOP taman rekreasi perlu dipertingkatkan – Lee Lam Thye

PEMATUHAN prosedur operasi standard (SOP) di kawasan rekreasi dan percutian perlu dipertingkatkan bagi mengelak kejadian tidak diingini serta mengekang penularan COVID-19. 

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata masih banyak ruang berkaitan pematuhan SOP boleh diperbaiki di kawasan beriadah dan rekreasi lebih-lebih lagi selepas melihat sikap ramai pengunjung yang leka dengan kepentingan menjaga SOP ditetapkan kerajaan. 

“Kepatuhan kepada SOP, saya lihat memang tidak ada penjarakan sosial di kebanyakan tempat rekreasi, mereka perlu tahu sungguhpun sudah lengkap divaksinasi tetap kena berhati-hati, mereka masih boleh terkena COVID-19. 

“Saya tengok di beberapa kawasan riadah memang sesak, ramai yang keluar bawa keluarga pergi ke tempat air terjun dan pantai, tetapi pematuhan kepada SOP tidak memuaskan, mereka perlu mematuhi SOP sebagai satu langkah pencegahan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Beliau mengakui pembukaan kawasan rekreasi satu langkah yang wajar bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan pemulihan ekonomi negara, namun pengunjung juga perlu mematuhi SOP bagi mencegah penularan COVID-19. 

Selain itu, Lee berharap pihak pengusaha dan penjaga kawasan rekreasi dapat memastikan semua kemudahan diselenggara dengan baik dari segi keselamatan dan kesihatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. 

Beliau bimbang disebabkan terlalu fokus kepada COVID-19 akan menyebabkan pengusaha dan penjaga mengabaikan keselamatan pengunjung dari aspek lain.

Beliau mencadangkan pihak berkuasa mengambil inisiatif meletakkan papan tanda besar untuk menarik perhatian pengunjung mengenai kawasan berisiko tinggi yang memerlukan mereka lebih berhati-hati ketika berkunjung ke destinasi berkenaan. 

“Sekarang apabila berlaku pandemik COVID-19, kita perlu jaga dua isu keselamatan iaitu COVID-19 dan kemalangan di tempat rekreasi disebabkan kecuaian pihak yang menjaga kawasan itu.

“Bayangkan satu kawasan rekreasi yang ditutup lama mungkin satu tahun setengah dan sekarang dibuka untuk orang ramai, kemungkinan aspek penyelenggaraan tidak dijaga dengan baik yang boleh mengakibatkan berlaku kemalangan,” katanya.