MALAYSIA semakin menghampiri sasaran vaksinasi 80 peratus untuk populasi dewasa, lebih awal daripada dijadualkan apabila hampir 18.13 juta atau 77.5% kumpulan sasar sudah menerima vaksin lengkap.
Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), di laman web Covidnow, sebanyak 238,002 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan 75,986 orang menerima suntikan pertama dan 162,016 mendapat suntikan kedua.
Ia menjadikan jumlah dos vaksin diberikan di bawah program ini kepada 39.9 juta.
Kerajaan menjangkakan 80 peratus populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir Oktober dan ketika itu Covid-19 akan menjadi endemik.
Namun, menurut unjuran CovidNow dijangka 80 peratus kadar vaksinasi populasi dewasa dapat dicapai menjelang 21 September, iaitu hampir sebulan lebih awal daripada jadual.
Manakala kadar vaksinasi 100 peratus bakal dicapai pada 7 November ini.
Lembah Klang, yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului kadar vaksinasi dengan 105.6 peratus populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi.
Peratusannya melebihi 100 peratus, kerana statistik populasi dari Jabatan Perangkaan tidak mengambil kira perubahan ukuran penduduk sejak bancian terakhir dan penduduk tiada dokumen.
Sabah mempunyai peratusan orang dewasa yang divaksinasi lengkap terendah iaitu 53.7 peratus. Bagaimanapun, angka itu menunjukkan peningkatan setiap hari.
Secara keseluruhan, 66.9 peratus populasi, termasuk remaja berusia 12-17 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya satu dos dan 55.5 peratus diberi vaksin penuh.
Terbukti, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini yang diperkenalkan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin mula
menampakkan hasil.
Lebih mengejutkan, sasarannya bakal dicapai lebih awal daripada jangkaan asal. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.