Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis rampas 303 kg syabu bernilai lebih RM10 juta -

Polis rampas 303 kg syabu bernilai lebih RM10 juta

POLIS menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan berkaitan rampasan 303.15 kg syabu bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah pada 6 September lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Peter Umbuas, berkata penahanan suspek berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun itu, dilakukan antara 7 hingga 10 September lepas di sekitar Tawau dan Kunak dan polis turut menyita dua buah kenderaan.

Kes itu masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk dikaitkan dengan sindiket dadah antarabangsa, katanya pada sidang media.

Sementara itu, taktik dua wanita menyembunyikan dadah di sebalik bengkung dan memakai jubah serta bertudung labuh “mudah dibaca” pihak polis dalam satu cubaan menyeludup bahan itu ke Indonesia, kelmarin.

Peter berkata kedua-dua wanita itu, yang berumur 38 dan 40 tahun dari Sulawesi Barat, Indonesia, ditahan di Kilometer 37 Tawau-Semporna, dekat sini, pada 5.50 pagi.

Pemandu kereta yang dinaiki mereka, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun, turut diberkas.

“Polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang mencurigakan, kemudian pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek wanita didapati membawa 2.16kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM72,720.

“Dadah itu disembunyikan di bengkung dengan cara menampal empat bungkusan dengan setiap bungkusan berisi 10 plastik dadah, modus operandi suspek mudah dibaca,” katanya.

Beliau berkata, hanya pemandu lelaki itu didapati positif dadah selain semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 September ini – BERNAMA