Penduduk bimbang tebing sungai makin terhakis

LEBIH Lebih 650 penduduk di perkampungan Orang Asli Sungai Mas, di Pahang memohon pihak berkuasa bertindak segera menangani masalah hakisan tebing Sungai Mas, yang semakin teruk terutama selepas dilanda banjir, tahun lalu.

Penduduk mendakwa, hakisan tebing sepanjang kira-kira 100 meter mengancam keselamatan mereka apabila jalan utama yang menjadi laluan utama penduduk di kampung terbabit semakin sempit.

Menurut laporan BH, Tok Batin Kampung Sungai Mas, Deli Ramli Lam, 58, berkata keadaan itu lebih berbahaya terutama pada waktu malam dan berisiko untuk runtuh pada bila-bila masa.

Jalan terbabit adalah laluan utama ke empangan Chereh, di sini, selain digunakan penduduk untuk ke ladang berhampiran dan keluar mencari hasil hutan serta memancing.

“Kalau ikutkan, jarak tanah yang hilang akibat hakisan antara 40 hingga 50 meter sejak 10 tahun lalu. Tapi kini ia sudah menghakis jalan yang menjadi laluan utama penduduk.

“Hakisan itu menyebabkan tebing sungai semakin tinggi iaitu antara 10 hingga 15 meter sekali gus boleh mengancam keselamatan pengguna jalan terbabit,” katanya.

Ketika ini, lebih 100 penduduk menggunakan laluan itu setiap hari. Selain penduduk setempat, orang luar turut menggunakan jalan berkenaan kerana Sungai Mas menjadi antara lokasi tumpuan untuk berkelah dan beriadah terutama pada hujung minggu serta cuti sekolah.

“Setakat ini belum ada kemalangan berlaku di jalan berkenaan akibat hakisan tebing ini, namun kita berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian segera sebelum berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Mas, Abu Adin, berkata aduan mengenai perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib termasuk wakil rakyat.

“Pihak berkenaan sudah turun padang melihat masalah terbabit dan saya berharap ada tindakan segera dilakukan bagi mengelak laluan ini terputus hubungan, jika berlaku hujan lebat dan banjir,” katanya.- SB