Agong harap MoU kerajaan dan pembangkang akhiri kemelut politik

0
255

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar kemelut politik dapat diakhiri segera berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) kelmarin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan kerjasama rentas parti yang bersejarah itu.

Katanya, baginda berharap Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat dalam usaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Al-Sultan Abdullah mengulangi pendirian baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik tidak berkesudahan sewaktu negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik itu.

“Seri Paduka menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Oleh hal demikian, Seri Paduka menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keyakinan proses pemulihan negara dapat dipercepatkan, selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi serta bantuan oleh kerajaan.

Katanya, ini kerana faktor-faktor itu juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan pelabur.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan harapan dengan berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.

“Sri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here