Sidang bermula ‘panas’ isu larang masuk Parlimen

SIDANG Dewan Rakyat bermula panas hari ini apabila pembangkang membangkitkan mengenai kejadian sekatan polis terhadap mereka untuk ke Parlimen pada 1 Ogos lalu.

Perkara itu dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri bermula.

Memetik laporan Berita Harian, Rayer mahukan jaminan Speaker, Datuk Azhar Azizan Harun memberi jaminan kes seumpama itu tidak berulang selain meminta penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) turut bangun bertanya mengapa beliau juga tidak dibenarkan masuk ke pejabatnya di Parlimen pada hari berkenaan.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) turut bangun menyatakan beliau juga tidak dibenarkan masuk ke Parlimen untuk tugas rasmi pada hari berkenaan dan diberi amaran beredar dalam masa dua minit atau ditangkap ketika cuba melepasi sekatan jalan raya.

su itu menjadi panas apabila Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) menggunakan perkataan ‘mangkuk’ apabila membantah penjelasan Hamzah yang menyatakan tindakan polis pada hari berkenaan adalah juga untuk mengelakkan tindakan berkumpul ketika pandemik.

Mahfuz berkata tidak akan berlaku tindakan berkumpul jika Ahli Parlimen pembangkang dibenarkan ke Parlimen.

Azhar Azizan kemudian mengingatkan Mahfuz supaya tidak lagi menggunakan perkataan itu selepas mendapat bantahan daripada Datuk Awang Hashim (PAS-Pendang) yang mahu ia ditarik balik.

Speaker juga dalam penjelasannya menyatakan beliau tidak mengeluarkan arahan menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari berkenaan dan perkara yangt berlaku di luar adalah di luar bidang kuasanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, tindakan yang diambil polis pada hari kejadian adalah selaras dengan penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). – SB