SEORANG remaja perempuan berusia 19 tahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tambahan 2, Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, pagi tadi.
Dalam kebakaran kira-kira jam 11 pagi itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga adik mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 11.10 pagi menggerakkan dua jentera dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan BBP Sungai Buloh ke tempat kejadian.
Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Azizi Tajuddin.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis bangunan kelas A berkeluasan 30 x 15 kaki persegi dan kediaman berkenaan terbakar 90 peratus.
“Sebelum pasukan bomba tiba di tempat kejadian, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang cedera sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Norazam lagi, seorang remaja perempuan dikenali sebagai B Triviya, 19, yang parah akibat melecur disahkan meninggal dunia dalam kebakaran itu.
“Ketika kejadian, dua beradik itu dipercayai tinggal berdua di dalam rumah berkenaan dan kedua ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.
“Buat masa ini pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kebakaran,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.