Polis tahan empat lelaki kes tetak depan rumah

0
287

POLIS menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki yang berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di Ladang Sepang, pada 9.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.30 malam Sabtu lalu, polis menerima laporan daripada teman wanita mangsa yang memberitahu mangsa berusia 45 tahun itu ditetak di hadapan rumahnya.

“Semasa mangsa berada di luar rumah kerana mahu muntah selepas mengambil sedikit minuman beralkohol, tiba-tiba datang sebuah kereta dan berhenti di hadapan rumah.

“Dua suspek keluar dari kereta itu dengan seorang daripadanya bertindak menetak mangsa di belakang badan dan kepala, manakala seorang lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum melarikan diri dengan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul Azran berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah parang berhulu merah, topi keledar dan kesan darah di atas lantai.

Selepas menahan empat lelaki itu, polis turut merampas sebuah Proton Iswara dan Perodua Bezza serta empat telefon bimbit.

Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dan semuanya kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here