
YANG Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan keahlian Ahli Parlimen (MP) yang berhadapan pendakwaan di mahkamah digantung sementara menunggu kes mereka selesai – suatu langkah ke arah melaksanakan transformasi Parlimen yang sudah berusia 62 tahun sebagaimana yang dikehendaki kerajaan sekarang.
Beliau juga berkata, individu yang mempunyai kes mahkamah juga jika dicalonkan memegang sesuatu jawatan di Parlimen sepatutnya tidak menerima tawaran itu kerana mereka tertakluk kepada ruang lingkup kehakiman.
Veteran politik itu membuat cadangan demikian ketika menjadi tetamu Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Transformasi Parlimen 62 Tahun: Antara Kenal Huruf atau Celik Politik?
Rais juga berkata, mengikut norma dan amalan yang ada pada perkhidmatan awam, Ahli Parlimen yang sedemikian tidak seharusnya menerima sebarang tawaran jawatan di Parlimen kerana individu berkenaan tertakluk kepada bidang cakup kehakiman dan mungkin didapati bersalah kemudian atau pun sebaliknya.
“Ia sangat berkaitan dengan transformasi yang disebutkan… apabila seseorang itu misalnya… kata lah dihadapkan di mahkamah … beliau sudah didakwa tapi belum berbicara lagi.
“Kalau seseorang perkhidmat awam, beliau digantung dulu jawatannya di bawah peraturan am, malangnya di bawah Parlimen tidak ada dan mereka selalu berkata di bawah Perkara 48 ceraian 1 (e) mereka bebas untuk berkhidmat kecuali didapati bersalah di mahkamah dengan denda tidak kurang dari RM2,000 dan penjara setahun,” katanya.
Ketika ini, isu yang sedang hangag diperkatakan sekarang ialah pencalonan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Parlimen pada sidang yang akan bermula Isnin ini.
Ahmad yang digolongkan dalam ‘Kluster Mahkamah’ kini sedang berdepan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu beberapa MP termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah. Malah Najib sendiri telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman 12 tahun penjara serta denda.
Mengulas lebih lanjut, Rais berkata berbeza dengan penjawat awam dari Ketua Setiausaha Negara hingga ke peringkat pegawai bawahan jika dihadapkan ke mahkamah maka jawatan dan tugas mereka terhenti sementara.
Katanya, dari segi undang-undang ianya sangat mengejutkan kerana Perkara 8 Perlembagaan Malaysia menyatakan semua rakyat adalah sama taraf.
Selain itu, Rais berkata sudah tiba masanya MP, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikenakan kod etika yang dikanunkan bagi menjaga tingkah laku dan adab mereka ketika bersidang.
“Jadi sangat menarik dan sangat penting saya rasa kanun ini dijadikan satu instrumen khas bagi dikenakan kepada setiap yang menjadi ahli yang berhormat.
“Dan ini kita perlu melihat kembali senarainya… bercakap bohong di Parlimen misalnya, menggunakan bahasa kasar atau pun mencarut atau mengenakan sesuatu imbasan bahasa yang boleh mengaibkan kehakiman, Yang di-Pertuan Agong dan sebagainya,” katanya.
Rais berkata, penggubalan Kod Etika itu berupaya untuk membentuk persepsi positif masyarakat terhadap semua MP seterusnya mengembalikan kewibawaan Parlimen sebagai institusi perundangan utama. – SB