Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Muhyiddin dedah rahsia letak jawatan PM -

[VIDEO] Muhyiddin dedah rahsia letak jawatan PM

SELEPAS 26 hari meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya bersuara kenapa beliau membuat keputusan membubarkan kabinet kerajaan pimpinannya.

Keputusan sukar itu terpaksa dibuat semata-mata mahu mengelak jatuhnya kuasa kepada Pakatan Harapan (PH), dan pilihan terbaik adalah membuka peluang kepada pemimpin lain dalam ruang lingkup yang sama.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga bimbang, Pakatan Harapan yang pernah berkuasa sebelum ini akan terus bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat UMNO yang menyokong mereka.

Berucap pada ulang tahun kelima Bersatu, Muhyiddin berkata, bagi mengelak daripada menjadi pembangkang, dia memilih jalan untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Pengerusi Perikatan Nasional itu menambah, apa yang penting ketika itu ialah meneruskan usaha memulihkan negara sehinggalah tiba detiknya pilihan raya dapat diadakan dengan selamat, dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Jika tindakan nekad itu tidak dibuat, Muhyiddin yakin keadaan politik negara mungkin akan terus terumbang-ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapa pun yang mendapat sokongan majoriti.

Muhyiddin juga menegaskan kerajaan pimpinan bukannya lemah menangani pandemik Covid-19. Perkara itu terbukti dengan keadaan terkini yang menyaksikan kes kritikal makin berkurangan, bahkan keadaan di hospital juga tidak lagi sesak.

Sebaliknya apa yang berlaku cuma propaganda pembangkang yang sibuk mencari alasan menjatuhkan kerajaan.

Sebagai langkah jangka panjang, Bersatu turut mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Bersatu sebagai platform mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan mengikut perlembagaan parti.

Akademi ini akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi Bersatu. – SB