Semua pekerja projek ECRL telah divaksin

SEMUA kakitangan kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) sudah divaksin bagi memastikan kerja-kerja projek mega itu dapat berjalan dengan lancar.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, vaksin Covid-19 diberikan kepada semua pihak pengurusan dan kakitangannya, termasuk subkontraktor dan pembekal tempatan dalam projek itu.

Katanya, keseluruhan tenaga kerja ECRL sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin berkenaan.

“CCC-ECRL menyasarkan proses vaksinasi dua dos lengkap menjelang penghujung bulan ini. Inisiatif ini bagi memastikan semua yang terbabit di 164 lokasi utama, termasuk kerja-kerja penggalian 10 terowong, mendapat imuniti lengkap bagi memastikan projek mega negara itu dapat terus dijalankan.

“Malah, ia juga penting untuk mengelak berlakunya kelewatan perkembangan projek disebabkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, pengurangan kakitangan dan waktu kerja yang dipendekkan, selain kelewatan penghantaran peralatan dan bahan binaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di negeri berlainan,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun vaksin untuk inisiatif itu dibekalkan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), namun segala kos penyelenggaran Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) serta yuran pengurusan untuk pengamal perubatan am swasta dan kakitangan kesihatan terbabit ditanggung oleh CCC-ECRL dan pemilik asset projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL). – SB

Warga kerja projek ECRL menunggu giliran vaksinasi mereka di PPVIN Chukai, Kemaman, Terengganu
CCC-ECRL mengubahsuai tapak kem mereka di Kemaman, Terengganu kepada pusat vaksinasi untuk
memberikan vaksin kepada pekerja, pembekal dan subkontraktor
Beberapa pekerja ECRL bergambar selepas vaksinasi mereka.
Keseluruhan tenaga kerja ECRL termasuk CCC-ECRL, MRL, subkontraktor dan pembekal tempatan
telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin berkenaan.
Pekerja CCC-ECRL jadi sukarelawan beri bantuan program vaksin.