Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Speaker Dewan Rakyat mangsa agenda kepartian? -

[VIDEO] Speaker Dewan Rakyat mangsa agenda kepartian?

APAKAH agenda sebenar kedudukan Speaker Dewan Rakyat diganggu gugat? Sejak bermulanya krisis politik yang membawa kepada perletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehinggalah sekarang, ada saja perkara yang diusik.

Sedangkan rakyat sentiasa memerhati. Jika begitulah gelagat Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, terutama daripada blok pembangkang, nampaknya hanya isu seperti itulah yang akan sentiasa diberikan keutamaan, bukannya soal kebajikan rakyat. 

Rakyat tertanya-tanya. Adakah Speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa multak membuat keputusan dasar kerana jawatannya itu lebih kepada peranan sebagai pemudahcara, pengendali, pengawal yang akan memastikan aturan serta perjalanan mesyuarat berjalan lancar. 

Persoalannya, apakah speaker sedia ada, Datuk Azhar Azizan Harun tidak layak, tidak cukup bagus untuk mengendalikan mesyuarat sehingga perlu diganti?

Ataupun ada agenda lain yang tersembunyi dengan melantik speaker yang mudah dikawal?. Ataupun sengaja mahu mencipta hiruk pikuk menyambut Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Ketika ini, berbaki lagi seminggu sebelum sidang bermula dan sepatutnya perkara itu sudah diselesaikan awal. Jika ada usul menukar speaker, ia perlu disegerakan, tetapi setakat ini, ia lebih kepada usul persendirian. 

Jika usul menukar speaker diketengahkan, Azhar Azizan mengakui beliau tidak akan campur tangan dan menyerahkan tugas itu kepada timbalannya Datuk Mohd. Rashid Hasnon untuk menyenaraikan usul ke dalam dewan.

Blok pembangkang terutama DAP mahu speakar ditukar, tetapi siapa calon mereka? Ada yang mendakwa mereka mahukan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon.

Setiausaha Agung UMNO ini adalah daripada kelompok 15 yang menentang Muhyiddin dan kini menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Apakah motifnya, adakah akan wujud satu lagi gerakan dari dalam untuk menggoncang kerajaan?. 

Satu sumber yang dipetik Utusan Malaysia mendedahkan, gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mahu mengekalkan Azhar Azizan dan bersetuju meletakkan Ahmad Maslan sebagai timbalan. 

Semua persoalan itu akan terjawab minggu ini. Parlimen dijangka akan mengeluarkan senarai Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang memaklumkan sama ada usul-usul tersebut menjadi antara satu agenda untuk persidangan Dewan Rakyat bermula 13 September ini atau sebaliknya.

Namun harus diingat, jika ada usul daripada kerajaan, usul itu akan diutamakan. Nasib Azhar Azizan yang popular di kalangan media dengan singkatan nama Az Az akan ditentukan minggu ini. Tetapi rakyat sudah muak jika berlaku satu lagi polemik politik yang tidak menguntungkan negara. – SB