KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menimbang untuk menamatkan kontrak bagi kontraktor sedia ada bagi menangani isu kelewatan pembinaan Hospital Papar di Sabah yang hanya berada tahap 22 peratus walaupun dijadualkan siap tahun lepas.
Menterinya Khairy Jamaluddin dalam catatan ke laman Facebook beliau semalam berkata, selain itu, kementeriannya akan turut melihat beberapa pilihan lain bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Khairy turut memaklumkan, KKM bagaimana pun akan membuat penilaian terlebih dahulu, apakah sebab berlakunya kelewatan ini sebelum membuat keputusan segera.
“Pada masa sama, saya akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Kanan Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk berbincang dan memutuskan langkah yang sewajarnya diambil.
“Sememangnya Papar memerlukan sebuah fasiliti hospital dengan kapasiti yang lebih besar. Hospital yang sedia ada ini terlalu kecil untuk menampung kes-kes yang datang mendapatkan rawatan sebab itu pembinaan hospital yang baharu ini perlu disegerakan,” katanya.

Khairy turut menyentuh mengenai isu dewan bedah yang baru siap dibina di Hospital Papar lama yang tidak dapat digunakan kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, beliau telah meminta Ketua Setiausaha KKM untuk membuat penilaian sama ada dewan bedah tersebut boleh diselamatkan ataupun tidak.
“Saya telah arahkan supaya laporan dibentangkan kepada saya dalam waktu terdekat,” tegasnya.
Hari ini, Khairy meneruskan lawatan kerja pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan untuk hari kedua ke Sabah dengan mengikuti aktiviti Program Outreach Pemberian Vaksin Kepada Penduduk Pulau Larapan di Semporna. – SB
“Setelah itu, saya akan mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tawau dan juga meninjau tapak hospital medan di lapangan terbang lama di Tawau,” tambahnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.