Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Semua berhak masuk MRSM -

Semua berhak masuk MRSM

MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikekalkan iaitu tanpa mengira aliran sekolah selaras dengan konsep “Keluarga Malaysia”.

Beliau berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM.

Susulan itu, katanya cadangan perubahan diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.

“Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM dikembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini, bagi memberi peluang semua pelajar memohon.

“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula akan dibuat berdasarkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beberapa pemimpin pembangkang menyuarakan bantahan terhadap syarat baharu kemasukan MRSM yang hanya menerima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 sebelum ini antaranya menyatakan kemasukan bagi tingkatan satu dan empat dihadkan kepada permohonan calon dari sekolah berkenaan.

Ini bermakna ia tidak menerima pelajar dari Sekolah Rendah/Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan.

Sebelum ini, syarat kemasukan MRSM hanya memerlukan pemohon adalah warganegara Malaysia. Ia juga terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Mahdzir berkata dasar 10% pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan.

Beliau turut berterima kasih kepada masyarakat di luar yang memberi pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi sistem pendidikan di MRSM.

Bagaimanapun, beliau berkata MRSM hanya mampu menampung 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, permohonan diterima MRSM bagi sesi kemasukan 2022 adalah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat.

Mahdzir berkata, kerajaan turut mengekalkan dasar menyediakan kuota 60% kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pendidikan menengah di MRSM.

“Sistem pendidikan MRSM bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan,” katanya. – SB