Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Beri ruang guru tolak vaksin laksana PdP tidak bersemuka -

Beri ruang guru tolak vaksin laksana PdP tidak bersemuka

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (​NUTP) berharap guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 diberikan ruang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara tidak bersemuka meskipun diarah hadir ke sekolah untuk melakukan tugasan lain yang akan diberikan kelak.

NTP khuatir sekiranya guru berkenaan tidak dibenarkan menjalankan PdP akan membebankan warga pendidik yang telah mendapatkan vaksin.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi tugasan lain kepada guru yang tidak divaksin selepas tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

“Namun, kami minta ruang untuk mereka mengajar kerana kita tidak mahu beban masa mengajar mereka itu dipindahkan kepada guru yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas arahan yang dikeluarkan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang mengarahkan guru enggan menerima vaksin Covid-19 diminta ke sekolah bagi melakukan tugasan lain kerana banyak lagi tugasan perlu dilakukan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, KPM masih mempunyai ruang untuk mengatasi masalah tersebut kerana sesi persekolahan yang akan dibuka nanti hanya melibatkan kelas peperiksaan, dengan guru yang mengajar kelas peperiksaan telah 100 peratus divaksin.

“Jadi saya rasa, KPM boleh melakukan sesi perbincangan dan berjumpa dengan guru yang tidak mahu divaksin bersama tokoh-tokoh berwibawa bagi mengetahui punca sebenar mereka tolak vaksin,” kata Aminuddin. – SB