TEMPOH moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Dis ini, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Bagaimanapun menurut beliau, pemilik LKM yang telah tamat tempeh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan menunjukkan siji perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.
Terdahulu, tempoh pembaharuan LKM dan LMM ditetapkan hingga 30 Sept ini dan boleh diperbaharui melalui kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia Bhd, MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Katanya, kementerian turut bersetuju untuk membuka semula kaunter JPJ dan Puspakom dengan kapasiti 100 peratus, iaitu secara ‘walk in’ (jumpa terus) bermula isnin ini (6 September) bagi semua urusan berkaitan setelah mengambil kira maklum balas orang ramai.
“Mulai 6 Sept juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti telah mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status risiko rendah COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media berkenaan perkara itu di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Menurut beliau, perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau melalui khidmat Pos Malaysia, MyEG, Puspakom amat digalakkan untuk digunakan orang ramai bagi membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan.
“Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ dan memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai memperbaharui LKM dan LMM,” katanya.
Dalam pada itu, MOT juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di kaunter bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.