Lelaki rentung, kereta terbabas

SEORANG lelaki rentung selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar di Jalan Taman Awam, di Miri, Sarawak, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Tan Kaw Tee, 61.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, jam 10.50 malam.

Susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dengan sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati, kereta berkenaan terbabas dan melanggar pokok lalu terbakar.

“Terdapat seorang mangsa di dalam kenderaan itu yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – SB