KEPUTUSAN membatalkan pingat emas yang dimenangi atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli kekal selepas rayuan tiga negara termasuk Ecuador dan Australia ditolak dalam mesyuarat khas sebentar tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Team Malaysia (@TeamMsia) di laman Twitter sebentar tadi.
“Keputusan yang bukan diinginkan tapi harap Ziyad kuat, walau apa pun terjadi, Ziyad tetap juara di hati rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, jaguh lontar peluru negara itu menitipkan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia.
“Saya mintak maaf kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih memberi sokongan pada saya,” luah atlet berusia 31 tahun itu di laman Instagramnya, pagi tadi.
Terdahulu pada aksi di Stadium Olimpik, Ziyad mencetuskan kegembiraan buat kontinjen negara apabila mengungguli acara berkenaan dengan melakar rekod dunia 17.94 meter (m) sekali gus memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Pembatalan penyertaan Ziyad menyaksikan peserta dari Ukraine, Maksym Koval yang sebelum ini menduduki tempat kedua, meraih pingat emas dengan catatan 17.34m sekali gus rekod baharu dunia. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.