Kerja robohkan surau Al-Mikraj ikut ketetapan MAIK

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menegaskan, kerja perobohan Surau Al-Mikraj di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dilaksanakan mengikut persutujan tatacara dan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK) termasuk mengenai kaedah mengurus harta wakaf bahan-bahan yang mengandungi tulisan ayat-ayat suci al-Quran dan seni khat dalam surau berkenaan.

MOT amat prihatin dan berhati-hati dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kepelbagaian agama serta budaya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“MOT juga menjunjung titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menitahkan agar semua bahan konkrit yang dikeluarkan daripada Surau Al-Mikraj diserahkan kepada Masjid Telipot, Kota Bharu.

“Bahan-bahan yang boleh diguna pakai semula diserahkan kepada MAIK sebelum diagihkan kepada Masjid Kampung Laut, Kota Bharu,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial isu perobohan surau di LTSIP dan mendapat pelbagai reaksi rakyat.

MOT berkata, pihaknya kini melaksanakan projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra merangkumi kerja-kerja pembesaran bangunan terminal bagi menampung keperluan sehingga empat juta penumpang setahun.

Jelas kenyataan tersebut, projek itu bertujuan meningkatkan tahap keselesaan di lapangan terbang, memenuhi keperluan kecekapan operasi penerbangan serta meningkatkan keselamatan di lapangan terbang.

Terdahulu, isu perobohan Surau Al-Mikraj menimbulkan reaksi pelbagai pihak, namun, surau itu akan digantikan dengan pembinaan surau baharu dan selesa di 14 lokasi dalam kawasan terminal itu.

MOT turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dalam melaksanakan projek ini dan berharap agar penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan. – SB