Johor terima 1.9 juta dos vaksin bulan ini

RAHIMI MOHAMAD

NEGERI Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin Covid-19 sepanjang bulan ini bagi membolehkan lebih ramai penduduk menerima suntikan masing-masing.

Perkembangan itu dimaklumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook rasmi baginda sebentar tadi.

“Daripada jumlah dos vaksin ini, sebanyak 1.76 juta adalah vaksin Pfizer. Dengan jumlah dos ini saya yakin seluruh Bangsa Johor akan menerima vaksin tidak lama lagi.

“Bersama-sama kita doakan kejayaan program vaksinasi Covid-19,” titah baginda.

Tunku Ismail amat mengambil berat perkembangan vaksinasi di Johor dan sering mengadakan pertemuan bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung perkara itu.

Kelmarin, baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan beberapa pengurusan tertinggi negeri bagi mendapat laporan mengenai isu kekurangan vaksin di PPV Educity, pembatalan janji temu untuk vaksinasi dan program vaksinasi pekerja kilang.

Setakat 31 Ogos lalu, jumlah keseluruhan populasi lengkap menerima vaksin di Johor adalah seramai 1.29 juta orang atau 34.3 peratus dengan populasi dewasa yang menerima kedua-dua suntikan sekitar 47.8 peratus. – SB