Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Individu 18 tahun dibenar jadi calon DUN Pulau Pinang -

Individu 18 tahun dibenar jadi calon DUN Pulau Pinang

DEWAN Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini bersetuju meminda perlembagaan negeri untuk menurunkan had umur menjadi ADUN kepada 18 tahun, berbanding umur 21 tahun sebelum ini.

Ia membabitkan pindaan Perkara 12 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan syarat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mendapat sokongan dwipartisan dalam DUN dengan 40 kerusi itu.

Pindaan itu telah diusulkan oleh Exco Belia Dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee, yang berkata, Pulau Pinang akan menjadi negeri ketujuh selepas Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Perak yang membenarkan individu berusia 18 tahun dan ke atas bertanding dalam pilihan raya.

Lip Chee berkata, di Pulau Pinang, tinjauan dalam talian dilakukan pejabatnya antara Disember dan Jun yang disertai 3,475 responden berusia 15 hingga 35 menunjukkan 65% atau 2,261 responden menyokong langkah menurunkan had umur itu, manakala 35% atau 1,214 responden membantahnya.

Ketika perbahasan mengenai undang-undang baharu itu, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi berkata, lebih ramai belia perlu digalakkan mendaftar sebagai pengundi kerana lima juta orang gagal berbuat demikian.

Gooi juga berkata, peraturan mesyuarat lebih ketat perlu dilaksanakan di DUN Pulau Pinang untuk melarang kenyataan menyinggung perasaan berkaitan umur atau jantina.

ADUN Bagan Dalam, Satees Muniandy turut bersetuju dengan Gooi dan berkata, “anak muda” dan kenyataan merendah-rendahkan orang lain perlu dilarang dalam DUN.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu memastikan “generasi TikTok” dididik mengenai demokrasi berparlimen sebelum mereka menyertai politik.

Ketua Pembangkang Negeri, Muhamad Yusoff Mohd Noor turut menyambut baik langkah menurunkan had umur itu dengan berkata,Nabi Muhammad meletakkan kepercayaan kepada belia untuk menjadi leftenannya sepanjang hidupnya.

Exco Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo turut menceritakan pengalaman peribadinya ketika berusia 17 tahun dengan melihat mendiang bapanya, Karpal Singh Deo, menjadi tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sudah dimansuhkan.

“Saya berusia 17 tahun dan tiada cara untuk menyertai politik ketika itu. Saya sedang belajar undang-undang dan apabila kembali untuk menemuinya, beliau sudah digari di katilnya di Hospital Taiping.

“Ketika itu, semangat saya berkobar-kobar dan mahu menyertai politik, tetapi tidak boleh kerana belum berusia 21 tahun.

“Ini sebabnya menurunkan had umur adalah langkah yang dialu-alukan. Pemikiran lebih muda akan membawa kita lebih jauh.” katanya.

Selain itu, Faiz Fadzil (PH-Permatang Pasir), Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) dan Lee Chun Kit (PH-Pulau Tikus) turut serta dalam perbahasan itu. -SB