Kementerian baru, cabaran baru: Annuar Musa

0
274

SEBAIK saja selesai istiadat angkat sumpah di Istana Negara, Menteri Komunikasi dan Media, Tan Sri Annuar Musa terus melaporkan diri di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk memulakan tugas.

Ahli Parlimen Ketereh itu memaklumkan beliau tiba di KKMM buat pertama kali untuk memulakan tugasnya selepas pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kementerian baru, cabaran yang baru. Alhamdulillah setelah selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan, buat pertama kali saya tiba di KKMM untuk memulakan tugas.

“Selepas pengumuman senarai ahli kabinet oleh PM (Perdan Menteri), pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak yang perlu dan sedang saya teliti, insyaAllah saya dan pasukan di KKMM akan melakukan yang terbaik demi Keluarga Malaysia,” katanya menerusi perkongsian beliau di Instagram.

Terdahulu, awal petang tadi, Annuar Musa dan barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Perlantikkan sebagai anggota Kabinet baharu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos lepas. 

Annuar Musa yang memulakan tugas secara rasmi hari ini menekankan bahawa akses kepada kemudahan Internet dianggap sebagai hak asasi manusia selain daripada keperluan asas seperti pakaian, makanan dan tempat berteduh.

Katanya, akses Internet merupakan satu perkara keutamaan yang akan beliau beri perhatian ketika menerajui KKMM.

Beliau berkata selain program Jalinan Digital Negara (Jendela), akses kepada kemudahan Internet perlu dilihat secara keseluruhan kerana untuk menjadi sebuah negara maju dan moden, maka aspek kemudahan Internet dan berkaitan dengannya perlulah bertaraf dunia.

“Kita tahu negara ini adalah sebuah negara pesat membangun, ada kawasan bandar dan luar bandar, sekali-sekala kita dapat melihat bagaimana anak-anak kena panjat pokok tidak mendapat kemudahan dan sebagainya. Ini semua tidak boleh dipandang begitu sahaja.

“Saya percaya KKMM ada usaha-usaha tertentu, sudah tentu program Jendela satu daripadanya dan ‘roll-out’ sedang dilaksanakan tapi kita akan lihat kepada semua ini. Akses kepada kemudahan Internet perlu dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia,” katanya kepada pemberita, hari ini. – SB