PELANTIKAN Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri merupakan peluang terbaik untuk UMNO melakukan rombakan kepimpinan.
Menurut tiga penganalisis politik, langkah itu perlu dilakukan bagi memulihkan imej yang tercemar akibat skandal rasuah pemimpin sebelumnya.
Jelas mereka, rombakan kepimpinan juga amat diperlukan Umno bagi mengukuhkan kerjasama bersama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Bersatu dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (Kita), UKM berkata, sebagai permulaan, UMNO perlu menggugurkan “orang-orang bermasalah” daripada parti itu.
“Saya harap jika ada pemilihan parti nanti Ismail Sabri dipilih menjadi presiden sebab orangnya tidak cerewet, tidak ada kes rasuah dan agak bersih berbanding yang sedia ada,” kata Shamsul merujuk kepada kepimpinan sedia ada UMNO seperti yang dilaporkan MalaysiaNow hari ini.
“Lagi pun pelantikan beliau ini pada saya satu perubahan besar kepada UMNO, takkan parti itu nak ambil orang banyak masalah lagi, bodohlah jika begitu. Ini sudah tentu akan memudah dan melancarkan kempennya untuk PRU seterusnya.”
Walaupun status kepimpinan UMNO boleh dipertikaikan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengatakan parti itu terlambat dalam menangguhkan pemilihan, parti itu kini dipimpin oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan dengan puluhan dakwaan melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menunggu keputusan rayuan selepas dijatuhkan hukuman bersalah dan berdepan hukuman penjara dalam kes SRC International sebelum ini bersama-sama dalam mengetuai kempen dalam menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, kedua-dua mereka telah menulis surat kepada Agong bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, sekaligus menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pelantikan Ismail sebagai Perdana Menteri telah memecahkan tradisi UMNO yang lazimnya presiden akan diangkat sebagai perdana menteri.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata beliau yakin UMNO akan memberikan laluan kepada Ismail.
“Rombakan kepimpinan bergantung Perhimpunan Agung UMNO, kalau mereka boleh berkompromi walaupun berbeza pandangan memilih Ismail sebagai PM, kenapa tidak sebagai Presiden?” katanya.

UMNO bergolak sekiranya Ahmad Zahid tak mengalah
Hisommudin menambah, sekiranya Ahmad Zahid mahu kekal menjadi Presiden UMNO, akan berlaku pergolakan besar dalam parti Melayu itu.
“Kita juga perlu ingat UMNO sebelum ini menyatakan ‘No Anwar, no DAP, No Bersatu’.
“Kalau perkara ini kekal, pastinya akan membawa masalah kepada Perikatan Nasional (PN) kerana pada saya, formula terbaik untuk UMNO sekarang ini adalah berkompromi menjalin hubungan dengan PN yang di dalamnya ada Bersatu, PAS dan UMNO sendiri walaupun mungkin ada selisih faham, tapi boleh bersama,” katanya.
Menurut Hisommudin, sekiranya UMNO mengekalkan Ahmad Zahid sebagai Presiden, kerjasama bersama parti-parti dalam PN hanya boleh bertahan sehingga Parlimen dibubarkan.
“Jadi saya harap UMNO dan Ahmad Zahid sendiri boleh memberi laluan kepada Ismail Sabri, untuk mengelak perkara sebaliknya berlaku kemudian hari.”
Shamsul menambah, sekiranya UMNO masih mengekalkan kepimpinan sedia ada, sukar bagi parti itu untuk meyakinkan rakyat untuk kembali menyokong mereka selepas kalah pada PRU14 pada 2018.
“Orang kampung akan tanya apa kejayaan UMNO sekarang ni? Rasuah ke? Nak cakap apa kalau kepimpinan masih yang sama? Sebab itu pada saya, Ismail mesti mengetuai kepimpinan baru UMNO,” katanya.
Sementara itu, Dr. Sivamurugan Pandian dari USM berkata, UMNO wajar melakukan rombakan kepimpinan sebagai persediaan untuk berdepan dengan PRU15.
“UMNO harus ada kepimpinan baru yang boleh memberikan pendekatan berbeza,” katanya.
“Pada saya dalam pemilihan itu nanti, kalau UMNO merasakan perlu ada barisan kepimpinan yang baru, clean dan bebas korupsi, UMNO wajar melakukannya.”
Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan ahli-ahli Parlimen yang mendukung beliau sebagai perdana menteri.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas sekumpulan ahli Parlimen UMNO yang diketuai Ahmad Zahid dan Najib menarik kembali sokongan terhadapnya.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri selepas 114 daripada ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan PN sebelum ini, termasuk Ahmad Zahid dan Najib menyokongnya.
Ini menyebabkan Anwar yang mengetuai Pakatan Harapan gagal sekali lagi dalam percubaannya untuk menjadi Perdana Menteri. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.