SATU rundingan bagi menghidupkan kembali Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang sama seperti ditawarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sedang diadakan di antara blok pembangkang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perkara tersebut didedahkan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang menambah, jika berjaya akan membawa kepada satu genjatan politik sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Sekiranya dia dapat melakukan itu, dan ini sedang dirundingkan sekarang, jika dia dapat menawarkan apa sahaja yang telah ditawarkan Muhyiddin (janji menggubal) undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dan reformasi parlimen, maka kami bersedia menawarkan gencatan politik untuk memberikan kestabilan bagi kerajaan.
“Inilah sesuatu yang sedang kami usahakan dan kami cukup optimis untuk mencapai keputusan positif daripada perbincangan ini,” kata Pua.
Ahli parlimen DAP itu bercakap dalam forum yang dianjurkan oleh Oxford and Cambridge Society Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Youtube.
Pua merujuk tawaran CSA yang dibuat Muhyiddin pada 13 Ogos lalu, yang antara lain berjanji akan melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh pembangkang, bagi memastikan undi percaya terhadapnya diluluskan.
Pada Rabu lepas, rombongan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri di Putrajaya.
Sejurus pertemuan itu, Anwar berkata pembangkang tidak mahu mempersulitkan sekiranya usul tersebut dibawa ke Parlimen untuk mengabsahkan kedudukannya sebagai PM ke-9.
“Kita beritahu, kalau suasana begini dan program-program adalah pro-rakyat, kita tidak mahu sulitkan (undi percaya),” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri juga mengeluarkan kenyataan bersama tiga pemimpin PH yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.
Kenyataan itu menegaskan Kerajaan bersama pembangkang mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Saya bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu itu.
Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Ogos lalu selepas mendapat sokongan majoriti daripada 114 MP.
Bagaimanapun dia akan berdepan undi percaya ketika Parlimen bersidang semula pada 6 September ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.