Pekerja maut terjatuh ketika tukar bumbung, JKPP Pulau Pinang lakukan siasatan

0
234

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menyita sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Prai bagi siasatan lanjut berhubung insiden seorang pekerja maut selepas terjatuh ketika menukar bumbung premis terbabit kelmarin.

Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, kejadian terbabit dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi melibatkan seorang pekerja buruh am warga tempatan yang terjatuh dari ketinggian kira-kira 5.5 meter.

Ketika kejadian katanya, mangsa yang berusia 45 tahun sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran kilang tersebut.

“Mangsa dikatakan telah memijak bahagian yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan dia jatuh ke atas lantai dan meninggal dunia,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambahnya, tindakan menyita secara fizikal kawasan kilang itu diambil JKKP Pulau Pinang bagi memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu dalam siasatan lanjut pihaknya berhubung insiden terbabit.

Jelasnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atas kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan juga telah dikeluarkan.

“Majikan juga diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

“Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here