Khairy beri ‘salam’ kepada petugas halang rakam video vaksinasi

SELEPAS diumumkan bakal mengambil alih portfolio sebagai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencuit hati pengguna Twitter menerusi ciapan balas terhadap video yang memaparkan seorang petugas kesihatan yang tidak membenarkan penerima vaksin merakam video proses vaksinasi.

Sebelum ini, mantan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memberi kebenaran untuk penerima vaksin merakam video sewaktu mendapatkan suntikan vaksin.

Namun, menerusi video yang dimuat naik ke akaun Twitter winraffm kelmarin, seorang penerima vaksin telah diberi amaran supaya tidak merakam proses vaksinasi atas alasan Khairy telah meletak jawatan sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Tak boleh rakam, KJ (Khairy) dah letak jawatan, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) punya prosedur tak boleh rakam,” kata petugas kesihatan tersebut sambil menutup kamera.

Ciapan itu telah menarik perhatian Khairy Jamaluddin untuk membalas “Assalamualaikum” sejurus selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beliau sebagai Menteri Kesihatan. -SB