Adham, Khary bertukar tempat, ramai menteri kekal

0
360

DUA potfolio penting berkaitan pandemik Covid-19 iaitu Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyaksikan pertukaran jawatan menteri dalam senarai kabinet yang diumumkan sebentar tadi.

Datuk Seri Dr Adham Baba yang sebelum ini mengemudi Kementerian Kesihatan bertukar tempat dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Dr Adham dan Khairy adalah dua watak penting menangani wabak Covid-19 ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dikekalkan dalam senarai Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, Khairy juga diberi tanggungjawan sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Di Kementerian Kesihatan, Khairy akan dibantu dua timbalan iaitu Datuk Dr Noor Azmi Ghazali selaku Timbalan Menteri 1 dan Datuk Aaron Ago Dagang (Timbalan Menteri II)

Manakala Dr Adham pun digandingkan dengan Datuk Amzad Mohamed @ Hashim yang dilantik selaku timbalan menteri.

Kedua-dua menteri yang mewakali parti Umno ini adalah antara kelompok pemimpin yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletak jawatan apabila Muhyiddin mengumumkan pembubaran kerajaan pada 16 Ogos lalu.

Berdasarkan pengalaman mereka menguruskan isu pandemik Covid-19, mereka dilihat calon terbaik buat Ismail Sabri untuk mengisi jawatan di dua kementerian berkenaan.

Selain Dr Adham dan Khairy, beberapa menteri lain dikekalkan termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Kanan menguruskan Kementerian Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kekal selaku Menteri Kewangan, diikuti Menteri Kanan (Kementerian Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong

Dua menteri wanita juga kembali dilantik ke kementerian yang sama iaitu, Datuk Seri Rina Binti Harun di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, manakala Datuk Dr Noraini Ahmad kekal mengemudi Kementerian Pengajian Tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here