PM tiba di Istana Abdulaziz, menghadap Agong untuk mempersembah cadangan barisan Kabinet

KENDERAAN membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat memasuki Istana Abdulaziz, Kuantan pada jam 10.53 pagi tadi.

Perdana Menteri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan cadangan barisan Kabinet kepada Seri Paduka Baginda untuk diperkenankan.

Menurut laporan Astro Awani, Ismail Sabri tiba dengan kenderaan berwarna gelap sempat melambaikan tangan kepada media yang berkumpul di pekarangan istana.

Lazimnya, selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan tersebut, Perdana Menteri akan mengumumkan barisan Kabinet untuk memimpin kerajaan.

Sebelum ini, dilaporkan Ismail Sabri berkata senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.

Menurut Ismail Sabri, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan. – SB