Dos penggalak tidak bantu mengawal penularan Varian Delta: Noor Hisham

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi peringatan, dos penggalak kepada mereka yang lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan Varian Delta.

Sebaliknya, penularan varian Delta hanya akan dapat dikawal dengan memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksinkan.

“Kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.

“Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.

Tambah beliau, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu membiak di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

“Virus yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata perbincangan mengenai keperluan memberikan suntikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin COVID-19 belum dimuktamadkan.

Manakala, sebanyak 42.4 peratus daripada populasi keseluruhan di negara ini atau 13,842,928 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian maklumat di laman Twitter, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga seramai 18,792,979 individu atau 57.5 peratus sudah menerima dos pertama menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini 32,635,907 dos.

Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 59.1% setakat semalam berbanding 58%, pada Isnin. – SB