ANGIN kencang secara perlahan-lahan mula bertukar menjadi badai. Bermula dengan pertikaman lidah pemimpin kelas pertengahan dua parti gabungan Pakatan Harapan (PH), kini suhunya semakin hangat dan makin merebak.
Api pertikaian yang tercetus antara pemimpin Amanah Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan aktivis PKR Sarawak berhubung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH), kini mula merebak ke Pulau Pinang.
Kedua-dua pihak mempertahankan pandangan siapa yang sepatutnya lebih layak memimpin PH selepas blok pembangkang itu gagal meraih sokongan majoriti untuk merampas tampuk kerusi panas di Putrajaya.
Amanah menyalahkan daya pengaruh Anwar yang dilihat semakin longgar dan kurang mencengkam. Sepatutnya, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang pada 16 Ogos lalu, itulah peluang terbaik merampas tahta.
Tetapi mereka gagal. Hanya mampu meraih 105 sokongan Ahli Dewan Rakyat dan berputih mata menyaksikan PN mendapat 114 sokongan sekaligus menyaksikan Datuk Seri Ismail Sabri diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib pantas bersuara dan kini giliran Ketua Pemuda Amanah Tanjong, Faruk Abdul Rahman mendesak supaya menukar ketua pembangkang dan mewujudkan PH Plus.
Mereka mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali diangkat sebagai ketua, tetapi dicantas Pemuda PKR Pulau Pinang yang mengingatkan mereka jangan sesekali melupakan detik hitam pengkhianatan bekas PM ketujuh itu.
Tegas mereka, jangan lupakan sejarah. Ingatlah bagaimana PH yang mendapat mandat rakyat diruntuhkan melalui pengkianatan dan sikap penting diri Mahathir yang meletak jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti dalam Majlis Presiden.
Sedangkan, Amanah mahu PH menggunakan sepenuhnya pengalaman luas Mahathir dalam politik, tetapi PKR pula mahu menjunjung kesungguhan Anwar mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.
Bahkan, pertikaian ini menjurus kepada cadangan supaya Amanah bergerak sendirian dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang. Setakat ini, pucuk pimpinan tertinggi keduad-dua parti hanya memerhati, belum ada sebarang reaksi. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.