KES perceraian di Malaysia merekodkan peningkatan yang luar biasa sejak awal tahun sehingga 29 Jun lalu, iaitu sebanyak 71,806 pasangan suami isteri beragama islam bercerai dan secara purata pula dalam sehari, pasangan yang bercerai adalah sebanyak 132 pasangan.
Menerusi satu temubual bersama Pakar Motivasi, Coach Nisha Shah berkata, masalah komunikasi antara satu sama lain merupakan satu punca utama mengapa kebanyakkan pasangan suami isteri mengambil keputusan untuk bercerai, lebih-lebih lagi dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun sebelum itu mereka berjanji untuk sehidup semati, tetapi mereka mengambil keputusan untuk bercerai apabila mereka merasakan bahawa tidak boleh berkomunikasi dan memahami antara pasangan masing-masing.
“Terutamanya dalam waktu PKP, kita lihat lebih ramai pasangan yang mengambil jalan untuk berpisah kerana mereka duduk di rumah yang sama, melihat wajah masing-masing sepanjang hari dan tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi mengikut situasi tertentu,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Beliau yang juga Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut berkata, jika salah seorang pasangan tidak tahu cara yang betul untuk berkomunikasi, toleransi dalam hubungan tidak akan wujud.
“Sekiranya mereka tidak tahu untuk berkomunikasi, mereka tidak tahu macam mana nak bercakap dan berhubung, itu yang membuatkan mereka tiada toleransi antara satu sama lain.
“Dan jika suami atau isteri tahu tanggungjawab masing-masing, jadi dia akan tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan betul bersama pasangannya,” ujarnya.
Beliau berpendapat, punca perceraian juga adalah tidak boleh menguruskan masa dengan baik.
Ini kerana pengurusan masa bukan sahaja untuk membuat sesuatu perkara, tetapi ia juga untuk membantu dalam menguruskan diri diri dan emosi.
“Mengurus diri bermaksud mengurus diri sebagai seorang suami, isteri, ayah, ibu dan menantu, ia merupakan tanggungjawab yang berbeza dalam situasi yang berbeza.
“Jika salah seorang tidak dapat menguruskan diri dengan baik, ia akan sekali gus menyebabkan emosi terganggu dan mendatangkan masalah dalam hubungan.
“Kita kena tahu pasangan kita juga manusia yang ada perasaan, kita harus fikir tentang pasangan kita dan bukan fikir perasaan sendiri sahaja,” katanya.
Menurut beliau juga, jika kedua-duanya tidak boleh mengurus emosi, maka perceraian mungkin akan berlaku.
Sehubungan dengan itu, solusi yang terbaik adalah bukan sahaja mempunyai ilmu rumah tangga, tetapi mempraktikkan ilmu tersebut dalam hubungan.
Walaupun ramai yang memberi motivasi tentang ilmu rumah tangga dan terdapat banyak buku tentang rumah tangga, tetapi kadar penceraian masih meningkat kerana ramai yang tidak mempraktikkan cara yang betul walaupun mempunyai ilmu yang sesuai. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.