Azizulhasni terima imbuhan RM350,000

0
300

KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, 8 Ogos lalu mendapat pengiktirafan apabila kerajaan Terengganu mengumumkan pemberian insentif bernilai RM350,000.

Azizulhasni menerima rumah setingkat bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000 dalam satu Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kediaman Seri Iman di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kemenangan atlet kelahiran Dungun itu bukan sahaja membanggakan negara, malah Terengganu sendiri, sekali gus menjadi inspirasi kepada individu lain.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kita boleh mempunyai apa jua cita-cita, apa yang penting, usaha dan kerja keras serta sokongan daripada pihak kerajaan.

“Tentunya penghargaan kerajaan negeri kepada Datuk Azizulhasni tidak dapat menebus keringat dan susah payah beliau tetapi rakyat Terengganu dan kerajaan negeri berharap supaya beliau dapat terus meningkatkan pencapaian dan mendoakan kita mendapat pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Insya-Allah selepas ini apa juga keperluan kesukanan yang diperlukan beliau dan rakan atlet lain yang boleh menunjukkan prestasi dibanggakan, kerajaan negeri tidak akan lokek dan akan terus membantu,” katanya.

Sementara itu, Azizulhasni, berkata insentif itu melonjak semangatnya dalam dunia sukan termasuk sebagai permulaan persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Temasya sukan ini mungkin akan menjadi penampilan terakhir sebelum bersara bagi memberi ruang kepada atlet muda mengetuai cabaran skuad berbasikal negara.

“Selepas membuat keputusan tidak beraksi di Kejohanan Dunia pada Oktober ini, fokus saya adalah menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

“Misi seterusnya adalah Sukan Olimpik 2024. Meraih pingat gangsa di Rio, perak di Tokyo, saya mahu pergi untuk emas dan saya rasa tidak ada apa-apa masalah daripada segi persiapan sebab saya ada Terengganu yang sentiasa memberi sokongan.

“Saya harap semua ini akan menjadi motivasi untuk atlet Terengganu dan kita mahu lebih ramai atlet Terengganu berjaya ke peringkat antarabangsa,” katanya.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here