Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
FDAM bantah iklan Hari Kebangsaan paparkan isu perkauman -

FDAM bantah iklan Hari Kebangsaan paparkan isu perkauman

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM), membantah penerbitan sebuah iklan berkonsepkan Hari Kebangsaan yang cuba menimbulkan isu perkauman.

Presiden FDAM, Dr. Ahmad Ibrahim berkata, bantahan itu merujuk kepada sebuah video berdurasi satu minit yang diterbitkan oleh sebuah pertubuhan memaparkan adegan seorang bapa melontarkan kata-kata berunsur perkauman di hadapan anaknya yang kemudian ditegur oleh isterinya.

“Walaupun dalam video tersebut tertulis penafian, FDAM berpandangan ia tetap menyinggung perasaan pelbagai kaum di negara ini yang amat menghormati makna perpaduan dalam hidup bermasyarakat di Malaysia,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, iklan yang disiarkan menerusi platform media sosial itu tidak sesuai untuk tatapan penonton serta menggesa pihak berwajib iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak penerbit.  

“Penerbitan video konsep Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) seperti ini boleh menjejaskan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini yang sekian lama terjalin,” ujarnya.

Ibrahim turut berkata, perkara ini membimbangkan memandangkan ia telah tersebar dalam media sosial biarpun video tersebut telah ditarik balik oleh pihak penerbit daripada siaran. 

Dalam pada itu, FDAM berharap Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat terus memantau penerbitan video seperti itu dan nilai perpaduan khususnya tema Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat dihayati sebaik mungkin. – SB