Labuan kini beralih ke Fasa 4, Negeri Sembilan pula ke Fasa 2

0
256

KERAJAAN mengumumkan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Wilayah Persekutuan Labuan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, manakala Negeri Sembilan pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 berkuatkuasa 26 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara ini disokong data yang menunjukkan trend kes positif Covid-19 harian di Labuan menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut, malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun ke angka sifar peratus berbanding 30 peratus pada bulan sebelumnya.

“Bagi Negeri Sembilan, keadaan Covid-19 juga bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120 peratus kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40 peratus semalam.

“Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos. 

“Ini menunjukkan bahawa Negeri Sembilan berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok dalam masa terdekat,” katanya.

Antara kelonggaran yang akan dinikmati penduduk Labuan adalah semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja 100 peratus tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuatkuasa.

Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50 peratus berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagi Negeri Sembilan pula, antara kelonggarannya adalah pergerakan rentas daerah dibenarkan dan penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa, dengan syarat mestilah lengkap dua dos vaksin. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here