SEJUMLAH 26 pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang telah ditutup bermula semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, penutupan tersebut melibatkan PPV yang berada di daerah Gombak, Klang, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur ditutup bermula semalam.
Kenyataan itu turut menyebut, PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pula akan ditutup bermula hari ini manakala PPV Dewan MPSJ Puchong Indah dan Dewan Meranti 2 di Seksyen U20 Petaling pula bakal ditutup pada 6 September depan.
“Selain itu, PPV Dewan Canselor, MSU (Petaling) pula akan ditutup esok, manakala PPV Mahsa University (Kuala Langat) akan ditutup pada 29 Ogos ini,” kata hebahan yang dibuat melalui laman Facebook JKAV itu.
“Dua lagi PPV iaitu Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Dewan Sivik MBPJ di Petaling akan ditutup pada 30 September nanti,” katanya.
JKAV juga memaklumkan bahawa PPV Stadium Nasional Bukit Jalil tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula semalam dan akan digantikan dengan vaksinansi melalui kaedah temu janji.
Sehubungan dengan itu, kepada individu yang ingin mendapatkan janji temu, individu perlu mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui MySejahtera, laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau hubungi talian 1800-888-828. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.