Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lalat jadi petunjuk temui mangsa tragedi kepala air -

Lalat jadi petunjuk temui mangsa tragedi kepala air

MAYAT mangsa kelima tragedi kepala air di Gunung Jerai, Kedah ditemui dalam keadaan menghadap kiblat dan masih sempurna selepas lima hari dilaporkan hilang, dipercayai akibat dihanyutkan air deras.

Warga emas berusia 91 tahun itu yang juga bekas imam Masjid Jamek Badlishah, di Yan ditemui dalam operasi kira-kira jam 3 petang semalam.

Ketika itu, pasukan mencari sedang melakukan kerja-kerja menolak kayu besar yang menimbun di sekitar kawasan Puteri Ayu Chalet di Batu Hampar.

Seorang Pegawai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamad Izham Aminuddin yang turut menyertai operasi berkata, mangsa ditemui di bawah timbunan kayu.

“Saya terhidu bau tetapi bukan seperti bau yang pernah saya sertai dalam operasi SAR (Operasi Mencari dan Menyelamat) sebelum ini dan waktu itu saya nampak beberapa ekor lalat di sebalik timbunan kayu.

“Saya turun ke dalam lubang sedalam 0.6 meter sambil menyuluh ke arah lalat berkenaan sebelum ternampak sesuatu dan meminta jengkaut memberhentikan operasi ketika itu,” katanya ketika ditemui media di Titi Hayun.

Mayat mangsa kelima itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa ditemui menghadap kiblat dan tidak mengalami kecederaan teruk cuma luka sikit akibat ditimpa kayu,” kata Mohamad Izham.

Dalam tragedi kepala air pada 4.30 petang Rabu lalu, lima orang maut, manakala seorang lagi mangsa masih hilang dan operasi pencarian ketika ini tertumpu di kawasan Titi Hayun.

Sementara itu, Pegawai Operasi SAR Gunung Jerai, Mohamad Razi Abdul Mutalib berkata, sebelum mangsa ditemui, mereka melakukan pencarian berdasarkan keterangan saksi yang ternampak mangsa tercampak keluar dari rumahnya di Salak Denai.

Katanya, berikutan itu, pencarian SAR dilakukan mengikut alur sungai. – SB