Seniwati Mimi Loma meninggal dunia

PELAKON veteran, seniwati Mimi Loma, yang popular dengan filem Ahmad Albab meninggal dunia di kediamannya di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Semarak Kuala Lumpur, pada jam 2.20 pagi tadi.

Perkara itu disahkan anak saudaranya Rozita Rohaizad, 64, yang memaklumkan artis yang menempa populariti pada era 1960-an itu menghembuskan nafas terakhir dalam tidur. Sejak beberapa hari lalu, Allahyarhamah dikatakan berada dalam keadaan lemah dan kurang selera makan akibat mengalami cirit birit sejak Selasa lepas.

Beliau berkata, ibu saudaranya yang berusia 75 tahun itu meninggal dunia dalam keadaan tenang di sisi ahli keluarga.

“Keadaannya agak lemah dan diberikan ubat, doktor juga datang ke rumah untuk membuat pemeriksaan tetapi dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan di rumah sahaja kerana kesihatannya semakin uzur dan tiada kaitan dengan COVID-19.

“Ibu saudara saya turut mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya pada bulan September tahun lepas,” katanya menurut laporan Bernama.

Menurut Rozita, jenazah Allahyarham Mimi Loma atau nama sebenarnya Aminah Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves pada 11.30 pagi tadi.

Mimi Loma aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968. Allahyarhamah meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu

Allahyarhamah Mimi Loma juga adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan seniwati Allahyarhamah Mariani Ismail.