KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihati agar rakyat Malaysia tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan termasuk kebenaran makan di restoran atau ‘dine-in’ berikutan kes Covid-19 masih di tahap membimbangkan.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau berharap orang ramai terus melakukan langkah pencegahan walaupun kerajaan telah mengumumkan kelonggaran SOP.
“Saya berharap agar rakyat Malaysia terus melakukan langkah pencegahan seperti pemakaian topeng muka, pastikan tangan sentiasa bersih dan mengelakkan tempat tertutup, sesak dan terkurung.
“Sekiranya anda didapati positif, pastikan anda menjalani kuarantin dengan segera agar tidak mendedahkan risiko jangkitan kepada orang lain,” katanya.
Noor Hisham turut mengingatkan bahawa masih ada sebahagian daripada penduduk di negara ini yang belum divaksin dan mudah untuk terkena jangkitan.
“Kita perlu memastikan kadar transmisi serendah yang mungkin untuk mencegah jangkitan varian atau mengelak daripada munculnya varian baharu.
“Sekiranya kita terlepas pandang, semua kerja keras yang telah kita lakukan dan kejayaan yang telah kita capai akan menjadi sia-sia,” ujarnya.
Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan kes harian Covid-19 sebanyak 22,262 kes baharu, menjadikan jumlah jangkitan adalah 1,535,286 kes setakat ini.
Noor Hisham berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 7,011 kes.
Ia diikuti Sabah (2,651), Sarawak (1,964), Kedah (1,880), Johor (1,558), Penang (1,459), Kuala Lumpur (1,220), Kelantan (1,039), Perak (946), Melaka (882), Pahang (664), Terengganu (495), Negeri Sembilan (405), Putrajaya (41), Perlis (38) dan Labuan (sembilan).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.