SEMUA Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berdiri teguh bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan Ismail Sabri dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutama dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.
“Kami yakin bahawa pelantikan beliau dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak COVID-19 dengan segara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Hamzah Zainudin yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, PN menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau, PN juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqamah.
Hamzah juga berkata semua program bantuan rakyat, pakej rasangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang diluluskan oleh Muhyiddin adalah bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara.
Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 2.28 petang.
Beliau menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.