Tengku Zafrul jadi sukarelawan di PPV KLCC

BEKAS Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turun padang untuk menjadi sukarelawan bersama Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) di Pusat Pemberian Vaksin Kuala Lumpur Convention Centre (PPV KLCC) hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dirinya sudah lama terfikir untuk menyertai sukarelawan-sukarelawan dan juga petugas-petugas barisan hadapan di PPV, namun baru mempunyai kelapangan masa untuk berbuat demikian.

“Sebelum ni ada juga terfikir nak turut serta, dan baru sekarang ada masa lapang sikit untuk bantu wira-wira kita bertugas di lapangan,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Menurut beliau, sepanjang mewakilkan diri untuk menjadi sukarelawan pada hari ini, beliau bertugas untuk membantu pengunjung yang mendapatkan suntikan vaksinasi mereka secara ‘walk-in’ atau jumpa terus.

“Kebanyakan mereka warga asing dan warga emas yang tidak berapa mahir dengan aplikasi mudah alih, jadi kena tunjuk kepada mereka cara untuk mendaftar.

“Saya juga ditugaskan untuk memberi panduan kepada pengunjung ke lorong dan laluan yang betul, sebelum mendapat vaksinasi mereka,” tambahnya.

Tengku Zafrul juga sempat mengajak orang ramai untuk berganding bahu dalam usaha membantu negara keluar dari krisis pandemik ini dengan mendaftar untuk menjadi sukarelawan bersama MyVAC menerusi myvac.com.my.

Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati orang ramai memuji tindakan beliau yang disifatkan sebagai berjiwa rakyat.

Tidak kurang juga daripada mereka yang mengharapkan Tengku Zafrul untuk kembali menyandang jawatan sebagai Menteri Kewangan di bawah pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengakhiri tugasnya sebagai sebagai Menteri Kewangan pada Isnin setelah seluruh anggota Kabinet yang lain meletak jawatan ekoran daripada kehilangan kepercayaan majoriti kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sepanjang tempohnya di kementerian, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani krisis kesihatan sejak pandemik Covid-19 diumumkan tahun lalu.

Pakej rangsangan ekonomi itu ialah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS (Tambahan), pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin (KITA PRIHATIN), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), PEMERKASA Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).