Cukuplah berpolitik, fokus isu rakyat

SEMUA ahli politik, khasnya Ahli-ahli Dewan Rakyat dinasihatkan supaya segera menamatkan kemelut politik dan bersatu hati menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Titah itu dibuat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas isu politik negara dianggap selepas apabila Raja-Raja Melayu berkenaan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke sembilan, petang tadi.

Ismail Sabri dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada jam 2.30 petang esok di Istana Negara, bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bera, Pahang ini yang sebelum ini turut meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), menerima sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat melalui surat akuan (SD).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, selepas perlantikan itu, baginda bertitah kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera, demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

“Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media Istana Negara, hari ini.

Bahkan, Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – SB