Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bunyi tembakan bongkar aktiviti pemburuan haram -

Bunyi tembakan bongkar aktiviti pemburuan haram

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PASUKAN Gerakan Am (PGA) yang melakukan rondaan bersama-sama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah terkejut apabila mendengar bunyi tembakan di kawasan hutan simpan berhampiran Kampung Ranggal, Pitas, Kota Marudu semalam.

Semasa meronda dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK) pada pukul 8.30 malam, mereka terdengar bunyi tembakan sebelum mencari lokasi tersebut.

Menurut Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail, sebaik tiba di lokasi mereka hanya menemukan satu senjata api buatan sendiri atau bakakuk ditinggalkan di kawasan itu dan pemburu dipercayai sudah melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemukan tiga butir peluru, dua bangkai pelanduk dan sebilah parang.

“Satu daripada tiga butir peluru sudah digunakan manakala dua lagi adalah kelongsong hidup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3,245 termasuk dua ekor pelanduk yang dipercayai ditembak mati dalam aktiviti pemburuan haram berkenaan.

Mohd. Abduh berkata, barang rampasan sudah diserahkan kepada pihak polis manakala bangkai haiwan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 25 (2) (a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.