Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bekas tukang gunting dihukum mati dera, bunuh bayi -

Bekas tukang gunting dihukum mati dera, bunuh bayi

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SEORANG bekas tukang gunting rambut dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas mendapatinya bersalah membunuh bayi perempuan berusia 11 bulan pada 2018.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Majid, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Hazmi yang merupakan suami kepada pengasuh bayi itu didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal di sebuah rumah di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 petang pada 7 November 2018.

Hakim Abdul Halim dalam penghakimannya berkata, beliau tidak dapat membayangkan betapa seksa dan deritanya bayi itu menanggung kesakitan.

“Kamu tidak berhati perut, tiada perasaan dan tindakan kamu tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata bayi tersebut turut mengalami perbagai kecederaan serius antaranya pendarahan di bawah kulit kepala, tengkorak pecah serta pendarahan di bahagian atas dan belakang otak.

Begitu juga katanya, terdapat kesan lebam di lengan kanan yang menurut doktor itu adalah kesan akibat gigitan orang dewasa.

“Apa dosa anak ini sehingga tergamak kamu menderanya dan memperlakukannya sedemikian rupa? Kamu sendiri ada anak, apa perasaan kamu seandainya anak kamu diperlakukan sepertimana kamu lakukan kepada si mati,” soal Hakim Abdul Halim.

Seramai 22 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut yang bermula pada 7 Januari 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala peguam A. Jeyaseelan mewakili tertuduh. – SB