SEORANG bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Parlimen di Kedah, direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes membuat tuntutan palsu berjumlah 140,600 antara 2019 dan 2020.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, Noor Fazlina Musa.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, lelaki berkenaan didakwa menyeleweng Wang Perutusan Khas Jabatan Perdana Menteri bagi Parlimen di Kedah bernilai antara RM 9,500 hingga RM 34,000 antara Ogos 2019 hingga Januari 2020.
Tujuh invois palsu dipercayai telah digunakan oleh suspek untuk menuntut bayaran dari Parlimen itu dengan jumlah kesuluruhan tututan palsu tersebut bernilai RM 140,600 untuk pelbagai kerja dan pembekalan.
“Lelaki ini ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani pada 4.31 petang semalam ketika tampil memberikan keterangan,” kata sumber SPRM itu seperti dilaporkan BERNAMA.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.