Lelong pingat Olimpik Tokyo bantu pesakit jantung

Berjaya kumpul dana separuh daripada RM1.6 juta untuk kos pembedahan

0
342

SIKAP terpuji atlet Poland, Maria Andrejczyk, wajar dijadikan contoh. Atlet rejam lembing ini, melelong pingat perak yang dimenanginya di Olimpik Tokyo untuk mengumpul dana bagi membantu pembedahan jantung bayi berusia lapan bulan.

Andrejczyk, 25, bersaing di temasya Olimpik yang berakhir dua minggu lalu, walaupun bergelut dengan kecederaan bahu dan kanser tulang.

Penderitaan dialaminya itu membuatkan dia mahu membantu Milosz Malysa yang mempunyai masalah jantung sejak lahir.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk memikirkan perkara ini. Ia tabung pertama yang saya jumpa dan saya tahu ia pilihan tepat,” kata Andrejczyk di Warsaw, Poland.

Keluarga Milosz mengutip dana untuk membiayai pembedahan di Stanford, California, Amerika Syarikat, selepas tiada pilihan di Poland.

Ketika melancarkan tabung kutipan di Facebook, Andrejczyk berkata, separuh daripada 1.5 juta zloty (RM1.62 juta) yang diperlukan sudah dikumpul keluarga berkenaan dan dia mahu melengkapkannya jumlah baki yang diperlukan untuk pembedahan.

Zabka, rangkaian kedai serbanika di Poland, memenangi bidaan untuk pingat perak Olimpik itu, tetapi mahu Andrejczyk menyimpannya.

“Kami terharu dengan usaha murni atlet Olimpik berkenaan. Kami memutuskan yang pingat perak dari Tokyo itu akan kekal bersama Maria,” kata jurucakap Zabka.

Setakat semalam, kutipan atlet itu sudah hampir mencapai sasaran ditetapkan. SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here